Thursday, February 24, 2011

Tanggungjawab kepada ibu bapa anak perempuan tidak kecuali

wahai tuhanku

Wahai Tuhan ku tak layak ke syurga Mu
Namun tak pula aku sanggup ke neraka Mu

Ampunkan dosa ku terimalah taubat ku
Sesungguhnya Engkaulah Pengampun dosa-dosa besar

Ila hilis tu lilfirdausi ahla
Wala aqwa alnnaril jahim
Fahabblitau batau wafir zunubi
Fainnakarob firul zanbi azim

Dosa-dosaku bagaikan pepasir di pantai
Dengan rahmat Mu ampunkan daku Oh Tuhan ku

Wahai Tuhan selamatkan kami ini
Dari segala kejahatan dan kecelakaan

Kami takut kami harap kepada Mu
Suburkanlah cinta kami kepada Mu

Akulah hamba yang mengharap belas dari Mu.....



Tanggungjawab kepada ibu bapa anak perempuan tidak kecuali


MENGHORMATI dan mentaati kedua ibu bapa merupakan tanggungjawab setiap anak tanpa mengira lelaki ataupun perempuan.

Malah, agama Islam sendiri telah menegaskan bahawa anak yang menderhaka, tidak akan mencium bau syurga.

Penasihat Agama Bahagian Kemajuan Masyarakat (Kemas) Nahrawi Marzoki berkata, setiap anak bukan sahaja wajib bertanggungjawab kepada ibu bapanya masing-masing tetapi turut bertanggungjawab terhadap ibu bapa mertua.

Menurutnya, tanggungjawab ini juga tidak terkecuali bagi anak perempuan biarpun mereka telah bersuami dan ini berdasarkan kepada kemampuan masing-masing.

”Antara perkara utama yang ditekankan ialah tanggungjawab anak menghormati ibu bapa dan perlu diingatkan bahawa hubungan anak dengan ibu bapa tidak akan putus sampai kiamat,” katanya ketika menjelaskan mengenai tanggungjawab anak perempuan terhadap ibu bapa kepada Keluarga baru-baru ini.

Beliau berkata, dalam keadaan apa pun seorang anak itu wajib mentaati ibu bapa selagi apa yang disuruh tidak mengingkari perintah Allah.

”Dalam hal ini terdapat perbezaan yang jelas antara menghormati dengan mentaati,” ujarnya.

Menghormati, tegas beliau ialah mempunyai rasa hormat terhadap mereka biar dalam keadaan apa sekali pun. Manakala perkara mentaati pula adalah tertakluk kepada apa yang disuruh oleh kedua ibu bapa. Ia hanya tertakluk kepada perkara yang baik dan tidak menyalahi batas-batas agama.

Sebaliknya jika apa yang disuruh itu bertentangan dengan hukum agama, seseorang anak tidak perlu mentaati dan melakukan apa yang disuruh itu.

Di samping itu, kata Nahrawi adalah menjadi kewajipan setiap anak perempuan untuk menjaga dan memelihara kehormatan ibu bapa mereka.

Beliau menjelaskan, maksud tersebut ialah apa-apa yang hendak dan akan dilakukan jangan sampai menjejaskan nama baik ibu bapa.

”Anak-anak perlu membuat pertimbangan dan penilaian terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu.

”Sebaik-baiknya jangan sampai apa yang kita lakukan itu mendatangkan malu kepada ibu bapa kita sendiri. Ini bukan sahaja dalam soal-soal percakapan tetapi termasuk juga perbuatan dan tindak-tanduk kita seharian,” jelasnya.

Selain itu, tambah beliau menjadi kewajipan juga bagi seorang anak perempuan itu memberi sara hidup kedua-ibu bapanya.

Dalam hal ini katanya, jelas di kalangan masyarakat sejak dahulu hinggalah sekarang, anak perempuan lebih menampakkan jihad mereka untuk menjaga ibu bapa berbanding anak lelaki.

”Perkara ini sebenarnya menggambarkan antara ciri-ciri anak perempuan yang solehah. Ini amat baik sekali kerana anak yang solehah merupakan aset amat berharga bagi ibu bapa dan boleh memberikan manfaat yang amat besar kepada mereka apabila mereka di alam akhirat nanti,” tambahnya.

Beliau memetik satu hadis daripada Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud.

”Sesiapa yang membesarkan anak perempuan, sehingga menjadi solehah, meletakkan ibu bapa itu ke dalam syurga.

Selain itu, katanya turut menjadi kewajipan bagi seorang anak itu juga ialah mendoakan kedua ibu bapanya.

”Salah satu daripada empat perkara besar yang diterima pahalanya oleh Allah s.w.t. selepas kematian seseorang itu ialah doa anak yang soleh,” katanya.

Selain itu turut mendoakan kesejahteraan ibu bapa semasa di dunia dan akhirat, doa agar dilindungi ibu bapa daripada azab neraka dan mendoakan ibu bapa agar mereka ditempatkan dalam golongan yang soleh.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai keutamaan yang perlu diberikan oleh seorang wanita antara suami dan kedua ibu bapanya, beliau memberitahu bahawa tidak ada dalil konkrit yang membuktikan bahawa syurga seseorang isteri itu terletak di telapak kaki suami.

Namun katanya, ketaatan seorang isteri terhadap suami merupakan salah satu tiket yang membolehkan dan memudahkan seseorang isteri itu untuk masuk syurga.

Dalam hal ini katanya, apa juga perkara yang dilakukan oleh isteri perlu mendapat keizinan dan keredhaan suami.

”Dalam keadaan ini si suami harus memahami dan mengingati bahawa sebagai seorang isteri, selain kewajipan mereka mentaati dan menghormati suami, mereka juga wajib menghormati dan mentaati ibu bapa mereka sendiri,” tegas beliau.

Selain daripada itu, menurut beliau anak perempuan juga wajib berbakti kepada kedua ibu bapa mereka.

”Sekiranya si ibu meninggal dunia, bukan sahaja anak perempuan itu harus memandikan mayat ibu mereka sendiri, tetapi juga mereka wajib mengkhatamkan Quran dan mengerjakan umrah dan haji bagi kedua ibu bapa mereka jika mereka tidak sempat menunaikan perkara tersebut semasa hayat mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, anak juga berkewajipan melangsaikan mana-mana hutang kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia jika ia tidak sempat atau masih belum diselesaikan.

Menurut Nahrawi, anak perlu mengutamakan kedua ibu bapa kerana salah satu cara untuk mencapai kegemilangan dalam kehidupan dunia dan akhirat ialah melakukan sesuatu atau berbuat baik terhadap ibu bapa mereka sama ada semasa hidup mahupun sesudah mereka meninggal dunia.


**sumber:

http://www.digitalislamiclibrary.com/user_contentdetail.asp?id=1021&mmid=944&lang=1

No comments:

Post a Comment